Assalamualaikum.....post hari ini berkenaan penyakit kanser, yang ini saya baca dari web Kementerian Kesihatan untuk sharing bersama. Arwah kakak saya pun salah seorang pesakit kanser usus. Moga dengan pembacaan ini kita dapat meningkatkan lagi pemahaman kita mengenai penyakit yang digeruni ini.
APA ITU KANSER?
Barah adalah sejenis penyakit yang
berkaitan dengan ketidak seimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan.
Biasanya, sel ini akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya bagi
membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun
ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya
ketumbuhan tidak normal atau juga dikenali sebagai tumor.
Tumor boleh dikategorikan sebagai
bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Tumor bukan barah tidak merebak
ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain. Barah pula terdiri daripada
sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh
badan yang lain. Sel barah boleh merebak ke organ yang lain menyebabkan
komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi multi organ akan
menyebabkan kematian.
Apabila sel ini sampai ke bahagian
tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan
barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis.
Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak
normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti
yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu
penyakit leukimia.
Rawatan Barah
Rawatan barah adalah bergantung
kepada jenis barah, bahagian anggota tubuh yang dihidapi barah dan juga
sekiranya barah telah merebak. Malah faktor jenis rawatan barah ini juga
dipengaruhi oleh umur pesakit. Kebanyakkan barah dirawat secara pembedahan,
radioterapi (terapi sinar-X) atau kemoterapi. Satu atau lebih cara mungkin
digunakan dalam merawat pesakit yang menghidapi barah.
Apa itu kemoterapi?
Kemoterapi adalah ubat-ubat yang
digunakan untuk merawat barah dengan cara membunuh sel barah. Ubat kemoterapi
ini berfungsi dengan cara menghalang sel barah daripada terus membahagi dan
bertambah. Sel barah tersebut akhirnya rosak dan mati. Memandangkan ubat
tersebut disuntik ke dalam darah, ubat tersebut juga boleh membunuh sel barah
di bahagian tubuh yang lain.
Ubat kemoterapi yang berlainan
mempunyai kesan yang berbeza terhadap sel barah. Oleh yang demikian gabungan
beberapa ubat mungkin digunakan untuk memberi kesan rawatan yang terbaik. Namun
begitu, ubat kemoterapi ini turut memberi kesan kepada sel-sel badan yang
normal dan ini menyebabkan beberapa kesan sampingan terjadi. Berbeza dengan sel
barah, sel yang normal boleh bertambah dengan kadar segera menyebabkan kesan
sampingan yang berlaku hanyalah bersifat sementara. Malah kesan sampingan ini
akan hilang sebaik sahaja rawatan kemoterapi tamat.
Pada kebanyakan keadaan, beberapa
ubat kemoterapi diberikan serentak kepada pesakit. Hanya dalam kes-kes tertentu,
sejenis ubat kemoterapi sahaja yang digunakan dalam rawatan.
Mengapa rawatan kemoterapi diberikan?
Tujuan rawatan kemoterapi adalah
untuk menyembuhkan, mengawal penyakit barah atau mengurangkan gejala penyakit
barah.
Tempoh rawatan dan kekerapan rawatan
adalah bergantung kepada jenis barah dan ubat yang digunakan. Secara amnya,
rawatan kemoterapi diberikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan walaupun
adakalanya ianya boleh diberikan dalam tempoh yang lebih singkat atau lebih
panjang. Individu adalah digalakkan untuk berbincang dengan doktor yang
merawat.
Bagaimana kemoterapi dilakukan?
Ubat kemoterapi mestilah memasuki
salur darah untuk sampai ke sel barah dalam tubuh badan. Ubat kemoterapi
memasuki salur darah dengan segera sekiranya ia disuntik ke dalam salur darah.
Sekiranya diberikan secara kaedah lain, ubat tersebut mestilah menyerap masuk
ke dalam salur darah (contoh: ubat kemoterapi dalam bentuk biji yang dimakan
dan diserap melalui dinding perut atau usus).
Ubat kemoterapi ini akan berada dalam
sistem peredaran darah dan boleh memasuki serta memusnahkan sel-sel tertentu.
Sel yang dipengaruhi oleh ubat kemoterapi adalah sel-sel yang bertambah dengan
kadar segera seperti sel barah. Kadar kemusnahan sel barah adalah berbeza dan
ianya bergantung kepada jenis barah itu sendiri.
Sel tubuh normal yang bertambah cepat
juga boleh terganggu oleh kesan ubat kemoterapi tetapi sel-sel normal tersebut
berkeupayaan untuk pulih dan bertambah semula berbanding sel barah.
Tempoh rehat di antara dua rawatan
dapat memberi peluang kepada sel-sel yang normal pulih sebelum tiba masa
rawatan yang selanjutnya.
Doktor yang merawat pesakit barah
akan mengambil kira beberapa faktor dalam membuat perancangan rawatan
kemoterapi kepada pesakit. Antara faktor penting tersebut adalah jenis barah,
bahagian anggota tubuh yang dihidapi barah dan juga sekiranya barah telah
merebak. Faktor lain yang perlu diambil kira adalah umur pesakit dan tahap
kesihatan pesakit secara umumnya. Ini bermakna setiap pesakit berkemungkinan
mendapat rawatan kemoterapi yang berbeza.
Kekerapan rawatan kemoterapi dan
tempoh rawatan adalah bergantung kepada jenis barah, ubatan yang diberikan,
tindakbalas sel barah terhadap ubat dan kesan sampingan ubatan.
Kemoterapi biasanya diberikan dalam
beberapa tahap. Tempoh bagi setiap tahap rawatan mengambil masa beberapa jam
hingga kepada beberapa hari bergantung kepada ubatan yang diberikan. Setiap
tahap rawatan itu akan diikuti dengan tempoh rehat untuk beberapa minggu bagi
membolehkan tubuh badan pulih daripada kesan sampingan rawatan. Jumlah
keseluruhan tahap rawatan bergantung kepada tindak balas barah terhadap
rawatan. Rawatan kemoterapi mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk merawat
penyakit barah. Bagi sesetengah pesakit pula, mereka dikehendaki memakan ubat
kemoterapi untuk beberapa minggu atau bulan sebelum diberikan tempoh rehat.
Pesakit mungkin diperlukan untuk
menjalani ujian darah, sinar-X atau berjumpa dengan doktor sebelum diberikan
rawatan kemoterapi dan ini sememangnya mengambil masa. Kesemua ubatan
kemoterapi disediakan dengan cara tertentu dan pesakit mungkin perlu menunggu
seketika sebelum memperolehi ubatan tersebut daripada Jabatan Farmasi hospital.
Bagi membantu pesakit mengisi masa menunggu, mereka disarankan untuk membaca
buku, surat khabar, melakukan silang kata atau menulis surat.
Perubahan dalam pelan rawatan.
Doktor yang merawat pesakit barah
akan sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan tindakbalas barah terhadap
rawatan kemoterapi. Bagi tujuan ini, pesakit diperlukan untuk menjalani ujian
darah, sinar-X dan ujian imbasan. Hasil daripada ujian-ujian ini akan
menunjukkan tahap tindakbalas barah terhadap rawatan kemoterapi. Kadangkala
pelan rawatan perlu diubah berdasarkan keputusan ujian kerana ada masanya
rawatan yang diberikan tidak memberi sebarang kesan seperti yang dikehendaki.
Sekiranya pesakit mendapat kesan sampingan seperti rasa loya, ubat penahan
muntah akan dibekalkan. Pesakit digalakkan untuk mengambil ubat penahan muntah
sebelum mendapatkan rawatan kemoterapi yang berikutnya. Tanya doktor, jururawat
atau ahli farmasi bagaimana anda perlu mengambil ubat yang ditetapkan.
Masalah usus
·
Sesetengah pesakit mungkin menghadapi masalah seperti sembelit atau
cirit-birit (setelah diberikan rawatan kemoterapi). Mereka ini digalakkan untuk
meminum lebih air bagi mengatasi masalah ini.
·
Sembelit boleh dielakkan sekiranya pesakit mengambil makanan berserat
tinggi seperti roti gandum dan pasta , bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
·
Bagi mengatasi masalah cirit-birit pula, pesakit dinasihatkan mengambil
makanan dalam jumlah yang sedikit secara kerap berbanding memakan makanan dalam
jumlah yang banyak. Ambil makanan yang bersuhu suam atau sedikit sejuk
berbanding makanan yang panas atau telalu sejuk. Elak makanan yang pedas, makanan
berserat yang kasar, makanan berlemak atau yang digoreng, berkuah atau bersos,
sosej dan buah-buahan atau sayuran yang mentah, berkulit atau berbiji. Makan
makanan snek yang bersesuaian seperti sup, roti bakar, biskut, keju atau nasi.
Apabila cirit-birit telah sembuh, penting bagi pesakit untuk mengambil makanan
yang seimbang meliputi buah-buahan segar, sayuran dan bijirin.
·
Pesakit perlu melaporkan masalah sembelit, cirit-birit atau sakit perut
kepada doktor yang merawat.
Masalah mulut
·
Ubat anti-barah juga boleh memberi kesan kepada lapisan dalam mulut dan
adakalanya menyebabkan luka / ulser atau jangkitan mulut. Penjagaan kebersihan
mulut adalah penting bagi semua pesakit yang mendapat rawatan kemoterapi.
Pesakit digalakkan menggosok gigi dua kali sehari dengan menggunakan berus gigi
yang lembut. Pesakit mungkin dibekalkan dengan ubat kumuran bagi mengelakkan
jangkitan mulut seperti jangkitan kulat.
Pesakit tidak digalakkan mengguna ubat kumur komersil tanpa merujuk dengan doktor terlebih dahulu kerana ianya berkemungkinan merengsa lapisan dinding mulut. Penggunaan sesudu garam dalam segelas air suam juga boleh digunakan bagi tujuan yang serupa.
Pesakit tidak digalakkan mengguna ubat kumur komersil tanpa merujuk dengan doktor terlebih dahulu kerana ianya berkemungkinan merengsa lapisan dinding mulut. Penggunaan sesudu garam dalam segelas air suam juga boleh digunakan bagi tujuan yang serupa.
·
Jika mulut anda kering, banyakkan mengambil cecair, terutamanya air dan
makanlah makanan lembut seperti kaserol. Makan juga buah-buahan masam atau
gula-gula berangin. Bincangkan masalah pergigian anda dengan doktor. Maklumkan
dahulu kepada doktor gigi anda yang sedang menjalani rawatan kemoterapi sebelum
menjalani rawatan pergigian.
Rambut gugur
·
Keguguran rambut adalah disebabkan kesan sampingan sementara ubat pada
rambut. Walaupun begitu tidak semua ubat kemoterapi menyebabkan keguguran
rambut. Tahap keguguran rambut adalah bergantung kepada individu dan jenis ubat
yang diberikan. Rambut baru akan tumbuh dalam tempoh dua hingga tiga minggu
selepas rawatan kemoterapi diberikan.
·
Selain daripada keguguran rambut, pesakit juga mungkin kehilangan bulu
pada bahagian anggota badan yang lain. Sekiranya pesakit dijangkakan akan
menghadapi masalah keguguran rambut, penggunaan rambut palsu, topi atau skaf
mungkin dapat membantu. Elakkan kulit kepala terdedah kepada sinar matahari
atau keadaan sejuk yang melampau. Pesakit hendaklah menjaga kebersihan rambut
dan kulit kepala. Sekiranya bulu mata turut gugur, gunakan kaca mata untuk
melindungi mata. Pada hari yang berangin, anda perlu memastikan rambut dan
kulit sangat bersih.
Rawatan bagi barah boleh mengubah
persepsi pesakit terhadap dirinya dan hubungan dengan orang lain. Sesetengah
pesakit menganggap barah tidak memberi apa-apa perubahan tetapi bagi sebahagian
yang lain ia membuatkan hubungan dengan pasangan lebih rapat. Pesakit juga
adakalanya mempunyai kurang minat dalam hubungan intim atau hubungan intim
tidak penting lagi buatnya untuk sementara waktu.
Kesan sampingan kemoterapi seperti
loya atau keletihan juga menjadi penyebab pesakit kurang berminat mengadakan
hubungan seksual dengan pasangan. Malah perubahan fizikal badan menyebabkan
pesakit merasakan dirinya kurang menarik di mata pasangan mereka. Adakalanya
pesakit lelaki mempunyai masalah mati pucuk manakala bagi pesakit wanita mereka
adakalanya mengadu mempunyai masalah faraj yang kering. Penggunaan KY Jelly
sebagai pelincir boleh membantu dalam masalah kekeringan faraj. Sungguhpun
begitu masalah ini hanyalah bersifat sementara dan ia biasanya pulih setelah
rawatan tamat.
Sekiranya pesakit merasakan terdapat
perubahan dalam hubungan intim, adalah digalakkan berbincang dengan
pasangannya. Pasangan mungkin tidak menimbulkan hal tersebut berikutan
kebimbangannya membuatkan pesakit berasa bersalah atau membuat permintaan yang
melampau dalam keadaan pesakit yang tidak sihat. Perbincangan yang terbuka
antara pesakit dan pasangan boleh membantu menyakinkan perasaan pesakit akan
keperluan berkasih-sayang dan memerlukan pasangan.
Walaupun pesakit mungkin tidak
berminat dengan hubungan seksual, terdapat banyak cara untuk memastikan
keintiman berterusan. Bersentuhan, berpelukan, bercium adalah antara aktiviti
intim yang boleh dilakukan bersama sementara pesakit pulih secara perlahan
untuk membolehkan hubungan seksual dilakukan seperti kebiasaan.
Kesuburan
·
Kemoterapi boleh memberi kesan sementara atau kekal kepada kesuburan
pesakit. Pesakit wanita mungkin menghadapi kitar haid yang tidak teratur atau
putus haid tetapi keadaan ini hanyalah bersifat sementara. Walaupun
kebarangkalian untuk mengandung menurun berikutan rawatan kemoterapi, masih ada
pesakit wanita yang hamil setelah tamat rawatan.
·
Bagi pesakit lelaki, rawatan kemoterapi boleh mengurangkan jumlah
penghasilan sperma. Bilangan sperma dalam air mani boleh berkurang dalam jumlah
yang sedikit atau dalam keadaan yang ekstrem - tiada penghasilan sperma. Kesan
sampingan ini boleh bersifat sementara atau kekal. Sesetengah pesakit membuat
keputusan untuk menyimpan sperma sekiranya ia diperlukan untuk kegunaan
persenyawaan luar rahim kelak.
Merancang keluarga
·
Walaupun kadar kesuburan berkurangan berikutan rawatan kemoterapi,
proses kehamilan masih boleh berlaku. Memandangkan kemoterapi boleh memberi
kesan kepada telur (ova) dan sperma maka kehamilan tanpa dirancang adalah tidak
digalakkan baik bagi pesakit wanita, pesakit lelaki atau pasangan. Maka kaedah
cegah hamil yang sesuai perlu digunapakai. Sekiranya kehamilan berlaku, pesakit
perlu berbincang dengan doktor secepat mungkin.
·
Pil perancang keluarga / cegah hamil mungkin diberikan kepada pesakit
wanita muda bukan sahaja bertujuan untuk mencegah kehamilan tetapi juga untuk
melindungi ovari daripada kesan sampingan ubat kemoterapi.
Credit to http://www.moh.gov.my/
No comments:
Post a Comment