Thursday, 19 March 2015

Alfatihah untuk Arwah Kak Koni


Assalamualaikum…..terlalu lama rasanya blog ni terbiar. Draft banyak tapi hati tak mampu nak post. Entri ini khusus untuk Arwah kakak yang telah kembali kepandaNYA pada 18/1/2015. Walaupun sudah hampir dua bulan arwah pergi….tapi kehilangan dia memberi impak yang besar pada saya dan keluarga. Hati ni terasa sedih yang amat dan bersalah kerana tidak sempat memohon maaf. Bertambah sedih lagi bila arwah pergi meninggalkan lima orang anak yang masih kecil. Sebagai ibu saudara memang saya rasa sangat kasihan pada anak buah saya, masih kecil tapi perlu meneruskan kehidupan tanpa ibu tersayang.

Arwah merupakan anak yang ketiga, seorang yang sangat tegas dalam semua perkara dan bekerja sebagai seorang pensyarah di UiTM Pulau Pinang. Sejak dari awal tahun 2014 arwah sudah sakit  dan telah mendapatkan rawatan di dua buah hospital swasta namun punca sakit perutnya tak dapat dikesan. Sehinggalah arwah merujuk kesnya ke hospital Seberang Jaya pada bulan September 2014, barulah doctor mengesahkan yang arwah telah menghidap kanser usus, waktu tu doktor tak dapat mengesahkan tahap kansernya tapi doktor assume mungkin tahap dua. Sebelum arwah dikesan menghidap kanser, arwah banyak mencuba rawatan Islam bagi merawat sakitnya. Namun tidak ada satu pun yang benar-benar menampakkan perubahan walaupun dah banyak tempat yang arwah dah pergi.   

Arwah telah menjalani pembedahan membuang usus & hati yang telah dijangkiti dengan sel kanser pada hujung 2014, ketika inilah baru kami sekeluarga dapat tahu yang kanser arwah dah tahap 4. Alhamdulillah arwah berjaya dalam pembedahan tersebut, namun arwah masih perlu menjalani kimoterapi bagi mematikan sel-sel kanser dalam badan. Itulah kimonya yang pertama, beliau pergi meninggalkan kami selepas rawatan kimo tersebut. Bukanlah nak salahkan kimo, tapi ajalnya sudah sampai. Sebelum arwah menjalani kimo, arwah sebenarnya dah nampak sihat, dah nampak ceria dan tak nampak macam orang sakit awalaupun berat badan arwah nampak susut sangat.

Arwah meninggalkan kami setelah pulang dari kimonya, ketika pulang arwah masih mampu berjalan sendiri cuma arwah pening dan tidak larat mungkin kesan dari kimo, arwah hanya terlantar tidur dan tidak lalu makan dan hanya minum sedikit air petang tu. Keesokan harinya lebih kurang jam 4:30 petang arwah menghembuskan nafas terakhir di samping suami, emak, abah, anak-anaknya dan kami adik beradik. Saya melihat sendiri bagaimana kakak saya yang seorang lagi berusaha cuba untuk menyelamatkan adiknya melalui CPR, patutlah seorang doktor tak digalakkan merawat keluarga sendiri, saya dapat lihat kakak saya berusaha  dan menangis semahunya bila dia tak mampu nak mengembalikan nadi arwah walaupun dia telah mencuba sehabis dayanya. Ini merupakan memori sedih yang saya tak dapat lupakan sepanjang hidup. Paling sedih anak-anaknya hanya mampu melihat saat arwah pergi untuk selamanya.

Walaupun emak kami sendiri ada menyebut, kalaulah kakak tak buat kimo mesti dia masih ada lagi. Hati seorang emak, masih lagi terkilan dengan kehilangan anaknya pada usia emasnya sekarang. Akhirnya emak dapat terima jugak ajal arwah dah ditentukanNYA. Saya tahu emak sedih mengenangkan nasib anak-anak arwah. Tambah lagi yang kecil baru 6 tahun, tapi si kecil ini dapat menerima hakikat yang emaknya dah tiada. Anak arwah yang paling besar pun baru berumur 16 tahun, adiknya berumur 15, 13, 9 dan 6 tahun. Masih lagi memerlukan seorang emak untuk membimbing mereka, tapi perancangan Allah tiada siapa pun dapat menyangkalnya. Sekarang hanya ayah tempat mereka bergantung.

Yang sebenarnya kita tak akan faham maksud kehilangan sehinggalah kita benar-benar mengalaminya. Saya sendiri terkilan kerana tidak diberi kesempatan untuk memohon maaf dari arwah walaupun peluangnya banyak, mungkin saya rasa yang arwah akan sembuh dari penyakitnya dan sihat seperti biasa. Kematiannya merupakan kejutan yang besar dalam hidup saya sehingga sekarang saya seperti tidak percaya yang arwah dah tiada. Saya rapat dengan arwah sejak saya diterima masuk Uitm Arau, ketika itu arwah mengajar disitu. Arwahla yang menyuruh saya memilih bidang sekarang, kalau tak kerana arwah tak tahu kat mana saya sekarang. Tiga tahun lamanya saya dan arwah berulang alik bersama setiap kali cuti ke penang. Kalau kami tidak balik ke penang, saya akan tidur di rumah arwah. Setelah berkahwin dan ada anak, anak saya memang rapat dengan anak-anak arwah kerana beza umur anak arwah yang kecil dengan anak saya cuma setahun.

Sebelum arwah pergi banyak barang rumahnya diberi kepada saya, alasannya barang dalam rumahnya dah banyak dan arwah hendak kurangkan barang, lagipun ketika itu saya baru beli rumah baru, jadi diberinya pada saya. Tak sangka itu petanda arwah nak pergi. Ada juga sekali arwah sebut semasa arwah tengah bercuti sakit yang saya ni bertuah dapat pergi kerja setiap sedangkan dia bosan hanya duduk dirumah tanpa dapat berbuat apa-apa.

Pernah jugak saya bawa anak arwah yang kecil dua orang keluar makan-makan, saya snap gambar dan hantar kat arwah tanpa sebarang caption, arwah balas dengan ucapan terima kasih kerana dia dah tak dapat nak gembirakan anak-anak dia. Masa ini yang saya terfikir arwah ni duk merepek sangat asyik terfikir nak mati….rupanya arwah dah tunjuk tanda-tanda. Suami pun baca wassup tu dan dia pun kata yang arwah tak patut down macam ni, arwah kena positif. Saya pun ada goggle bahan bacaan untuk pesakit kanser dan pass info kat arwah untuk baca. Tak tahulah arwah ada baca ke tidak.

Semasa akhir hayat arwah, arwah banyak bersedekah, arwah sangat seronok buat goody bag untuk pendaftaran pelajar-pelajar sekolah PASTI yang dekat dengan rumah mak masa awal tahun baru ni.Dia betul-betul bersemangat nak packingkan jajan untuk budak-budak tersebut. Dia cukup risau kalau goody bag tak cukup. Kawan arwah pun ada bagitahu yang arwah sempat menyerahkan sejumlah wang untuk didermakn kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan beberapa minggu sebelum arwah pergi. Semoga amal ibadat arwah diterima Allah dan diberi ganjaran olehNYA.


Kepada anak-anak arwah, tabahlah dan ketahuilah arwah hanya mahukan yang terbaik dan sangat sayangkan anak-anaknya. Sungguh pun arwah tiada lagi, namun kenangan bersamanya akan kekal dalam ingatan. Semestinya suasana keluarga kami tak lagi sama seperti dahulu, tetap akan rasakan kehilangan, tapi keluarga arwah yang mungkin akan terasa lebih lagi. Sekarang kami adik beradik cuma bagi anak-anak arwah tak terlalu sedih dan alhamdulillah mereka pun dapat menerima pemergian arwah. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. ALFATIHAH……..

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
Seorang isteri dan ibu yang bekerja sebagai jurutera di Pulau Pinang. Menjadi pengedar sah Shaklee di Bertam, Kepala Batas, Kulim dan kawasan berdekatan Pulau Pinang. Ingin maklumat lanjut mengenai Shaklee, Whatsapp saya di 012-4271871. Barangan yang dipesan akan dihantar secara COD atau melalui pos laju untuk pesanan yang berada di luar kawasan dari penang.